Saturday, August 11, 2012

Malam Lailatul Qadar




Malam ini secara rasminya kita telah sampai ke 10 malam terakhir di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini yang turut dikenali sebagai Malam 7 Likur bagi masyarakat kita. Bagi yang bersungguh-sungguh dalam menjalankan ibadah puasa dan berlumba-lumba mengejar ganjaran Ramadhan yang telah di janjikan oleh Allah S.W.T, 10 malam berikut ini adalah malam yang amat menggembirakan. Ini kerana diantara malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir Ramadhan, akan berlaku Malam Lailatul Qadar.

Umum mengetahui tentang kewujudan malam seribu rahmat ini tetapi masih ramai yang tidak mengetahui sejarah dan asal-usulnya. Saya mohon keizinan untuk berkongsi dengan anda sedikit sebanyak berkenaan peristiwa Malam Lailatul Qadar ini. Semoga kita bersama-sama mendapat ilmu dan hidayahnya.

Sejarah 


Malaikat Jibril mendatangi Rasulullah S.A.W dan menceritakan kepada baginda tentang kesungguhan dan kehebatan seorang lelaki Bani Israil yang bernama Syam'un yang berperang membela agama Allah selama 1000 bulan (kira-kira selama 83 tahun). Di waktu malam Syam'un akan beribadah kepada Allah dan pada waktu  siang beliau akan berperang menentang musuh Allah. 

Kisah ini dikongsi bersama para sahabat hingga menimbulkan rasa kecil hati dan cemburu terhadap Syam'un. Ini kerana para sahabat juga mahu melakukan ibadah ke jalan Allah yang setanding dengan Syam'un sedangkan usia umat Nabi Muhammad S.A.W adalah hanya sekitar 60 - 70 tahun sahaja. 

Di riwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A, Rasulullah seterusnya telah berdoa kepada Allah...


"Ya Tuhanku, Engkau jadikanlah umatku lebih pendek umurnya 
dan lebih sedikit amalnya (amal yang sedikit, tetapi ganjarannya besar)."

Di khabarkan doa Rasulullah S.A.W telah diperkenankan oleh Allah S.W.T dengan mengutuskan Malaikat Jibril menyampaikan perkhabaran gembira itu kepada baginda...

“Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menurunkan kepadamu ya Rasulullah 
Surah Al-Qadr, di mana di dalamnya terdapat kabar gembira untukmu dan umatmu, 
di mana Allah menurunkan malam Lailatul Qadr,
 di mana orang yang beramal pada malam Lailatul Qadr 
mendapatkan pahala lebih baik dan lebih besar daripada seribu bulan.
 Maka amal ibadah yang dikerjakan ummatmu pada malam Lailatul Qadr 
adalah lebih baik dari pada seorang ahli ibadah dari kalangan Bani Israil 
yang beribadah selama delapan puluh tahun.”


Tanda-tanda Malam Lailatul Qadar


Terdapat beberapa tanda berlakunya Malam Lailatul Qadar mengikut hadith-hadith dan riwayat.

1. Orang yang beribadah pada malam tersebut akan merasakan lazatnya beribadah, ketenangan hati dan kenikmatan bermunajat kepada Ya-Rabb tidak seperti malam-malam lain.

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur'an) pada malam kemuliaan.
 Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? 
Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. 
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril 
dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan.
 Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (Surah AlQadr)


2. Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi syaitan).(Hadith Riwayat at-Thabrani)

3. Cahaya mentari lemah, cerah tak bersinar kuat keesokannya; yakni tidak panas terik. Sekadar redup dan indah.

Rasulullah S.A.W bersabda: 
“Keesokan hari malam lailatul qadar 
matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar..” 
(Ubay bin Ka'ab r.a : Hadith Riwayat Muslim)

4. Bulan nampak seperti separuh bulatan.

Rasulullah S.A.W bersabda: 
“Siapakah dari kalian yang masih ingat 
apabila bulan muncul, 
yang berukuran separuh dulang..” 
(Abu Hurairah r.a : Hadith Riwayat Muslim)

5. Udara dan suasana pagi yang tenang.

Rasulullah S.A.W bersabda: 
“Lailatul qadar adalah malam tenteram dan tenang, 
tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, 
esok paginya sang matahari terbit 
dengan sinar lemah berwarna merah..”
(Ibnu Abbas r.a : Hadith Hassan)

6. Keindahannya hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.




Sesungguhnya Malam Lailatul Qadar adalah rahsia Allah S.W.T dan hanya Allah sahaja yang mengetahui bila berlakunya malam istimewa ini. Tugas kita adalah mencari keredhaan-Nya. Semoga dengan izin Allah S.W.T kita antara yang terpilih untuk dikurniakan keberkatan Malam Lailatu Qadar. Aminn!!!

Yang baik datang dari Allah, yang buruk hanyalah kekhilafan saya sendiri. 
Wallahualam.

No comments: