Beberapa minggu ini sesuatu berlaku terhadap aku & sahabat-sahabat aku. Berita yang aku terima beberapa hari sebelum Aidilfitri amat mengejutkan bagi aku. Tidak terhidu dek aku berlakunya pergolakan yang maha hebat diantara mereka.
Sebaik aku menerima berita sedih itu, aku berasa kesal kerana aku tidak langsung mengetahui tentangnya selama ini. Mereka berjumpa denganku walaupun agak kurang dari kebiasaan, tapi tiada sepatah yang muncul dari bibir mereka. Bila mendengar berita itu, aku begitu sedih. Sahabat-sahabatku.. terlalu lama kamu semua menyembunyikan perkara ini dari aku. Itu saja yang aku kesalkan.
Pun begitu, aku tetap yakin pasti ada alasan yang kukuh kenapa mereka merahsiakan perkara ini dari aku dan aku percaya kejadian ini pasti ada penyebabnya. Sejak mengetahui perkara ini, aku mencari jawapan. Sesungguhnya aku tidak mahu berpihak diantara kamu ya sahabatku kerana aku tidak mahu persahabatan antara kita tercalar.
Syukur Alhamdulillah!! Jawapan telah aku temui. Ini adalah percaturan-Nya. Ada sebab kenapa aku diletakkan oleh Allah S.W.T sebagai orang terakhir mengetahuinya. Semakin lama aku memikirkan perkara ini, aku bersyukur Tuhan memberikan rahmatnya kepada aku. Kerana di kedudukan aku, aku tidak memihak kepada mana-mana pihak. Ini lah hikmah aku menjadi orang terakhir mengetahui hal ini.
Wahai sahabat-sahabatku, aku tahu kamu membaca penulisan aku ini. Di sini aku ingin kamu semua mengetahui bahawa aku amat menyayangi kamu semua dan aku tidak mahu kamu bertelagah. Aku mahu persahabatan kita kekal selamanya. Kamu adalah antara mereka yang menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan aku. Kamu semua telah membantu aku secara langsung dan tidak dalam kehidupan aku ini.
Aku faham antara kamu masih terasa hati dan mungkin sukar untuk kamu menunaikan permintaan aku. Tapi aku harap kamu dapat berfikir secara matang. Bila kamu sudah cukup bersedia, berdepanlah diantara kamu untuk membetulkan salah faham yang telah berlaku ini. Sesungguhnya di kaca mata aku, tiada antara kamu melakukan salah terhadap satu sama lain. Cuma keadaan dan reaksi yang membuatkan kukuhnya salah faham ini. Dengar lah kata-kata ku ini.. bukalah minda dan hatimu wahai sahabat-sahabatku.
Sekiranya telah tersurat antara kamu tidak lagi bersahabat, biarlah ia berakhir tanpa dendam di hati kamu. Apa pun aku masih sahabatmu dan kamu adalah sahabat-sahabatku buat selama-lamanya. InsyaAllah.
Sent from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment