Sunday, September 4, 2011

Harapan Cinta

Benarkah ada cinta sejati di dunia ini?Aku mencari cinta itu sekiranya ada. Jika tidak, memadailah dengan cinta tulus yang terbit dari hati yang suci.
Aku pernah merasai cinta yang menggegarkan jiwa. Sejak detik pertama, getaran itu terasa tanpa dipaksa. Getaran jiwa yang membuatkan rasa ingin berkenalan lanjut. Getaran jiwa yang berdetak sambil berkata kamulah yang aku tunggu. Indah sungguh rasa itu. Hanya dengan memandang terasa bagaikan alam menjadi kaku. Hanya aku dan dia yang hidup di dalamnya. Manis sungguh rasa itu. Bagaikan sepanjang masa aku mampu tersenyum riang hanya kerana ingatan yang kuat terhadapnya. Basahnya rasa itu. Bilamana aku terasa bagai diawangan dengan tiap bait yang dilontarkannya menjadi angan-angan aku dan dia.
Mungkinkah bertemu kembali rasa itu? Aku tidak pasti.
Kehidupan aku yang serba kekurangan ini kadangkala membuatkan aku rasa tidak cocok untuk aku mendakap cinta. Sebahagian besar diriku telahpun bersedia untuk mengharungi kehidupan sunyi 30 tahun akan datang. Tanpa ada kasih, tanpa ada sayang, tanpa ada teman. Ini adalah dugaan terbesar dalam hidup aku. Kerana naluri ini tidak pernah bersatu dengan tubuh. Kerana kehendak ini tidak pernah memungkinkan aku memiliki sesiapa. Kerana kemahuan ini adalah sesuatu yang tidak mungkin diterima dek putaran alam semesta.
Biarpun cinta yang bakal hadir nanti adalah pasti takdirnya untuk berpisah, aku punya satu impian. Aku mahu biarlah kali ini si dia yang bakal menjadi ratu hatiku itu menyayangi, mencintai, menghargai dan memujaku lebih dari aku terhadapnya. Mungkin ayat ini menunjukkan betapa aku pentingkan diri sendiri bukan? Sejujurnya, aku muak menjadi pemuja sejati. Aku muak menjadi pencinta yang setia. Kerana segala yang aku lakukan tidak pernah dihargai. Kegagalan lalu membuatkan aku takut untuk memulakannya. Kepedihan itu membuatkan aku gerun untuk mencuba sedaya upaya.
Wahai bakal sang kekasih, aku doakan biarlah kamu datang dan tawan hatiku seikhlasnya dan aku pasti jiwa kosong aku yang maha lembut ini akan pasti jua menjadi milik mu. Itu harapan aku pada cinta yang bakal hadir. Amin Ya Rabbil 'Alamin.

Sent from my BlackBerry® smartphone

No comments: